Pages

Tuesday, February 22, 2011

Akta Pemberi Maklumat dibentang

Wednesday, 27 January 2010 10:55am

Oleh Norizan Abdul Muhid

MELAKA 26 Jan. – Akta Pemberi Maklumat atau Whistle Blower yang dalam peringkat penggubalan dijangka dapat dibentangkan pada persidangan Dewan Rakyat yang akan datang.


Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah berkata, jika semuanya berjalan lancar, akta baru tersebut dijangka mula berkuat kuasa pada tahun hadapan.

Menurutnya, akta itu penting kerana ia bertujuan melindungi keselamatan pemberi maklumat berhubung kes penyelewengan atau rasuah.

“Ia menjadi salah satu mekanisme kerajaan untuk menggalakkan orang ramai tampil menyalurkan maklumat berkaitan kes penyelewengan dan rasuah.

“Akta baru itu akan dibentangkan pada sidang Dewan Rakyat akan datang bagi melindungi mereka yang memberi maklumat dalam kes yang berkaitan,” katanya.

Beliau bercakap pada sidang akhbar selepas merasmikan Hari Kastam Sedunia ke-28 di sini hari ini.

Turut hadir, Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam pembentangan Bajet 2010 Oktober lalu mengumumkan penggubalan akta tersebut sebagai satu daripada tiga langkah proaktif kerajaan membanteras gejala rasuah.

Akta itu bakal memberi kekebalan kepada pemberi maklumat daripada diambil tindakan sivil atau jenayah akibat pendedahan mereka.

Sementara itu, kata Ahmad Husni, akta baru itu wajar diwujudkan kerana ia dapat mempengaruhi keinginan orang ramai untuk tampil menyalurkan maklumat.

“Kerjasama orang ramai penting kerana kerajaan ingin pastikan tidak berlaku kebocoran kepada hasil negara akibat kes penyelewengan dan rasuah,” ujarnya.

Sementara itu, beliau memberitahu, pungutan hasil oleh Jabatan Kastam tahun ini diunjurkan sebanyak RM26 bilion berbanding RM25.9 bilion tahun lalu.

No comments:

Post a Comment